Rabu, 12 Maret 2014

Browse Manual » Wiring » » » » » » » Banduan Merusuh Lima Maut Di Indonesia

Banduan Merusuh Lima Maut Di Indonesia

Penjara Tanjung Gusta 


Medan – Polis semalam melancarkan gerakan memburu kira-kira 100 banduan, termasuk militan yang melarikan diri dari sebuah penjara yang sesak selepas membakarnya dalam satu rusuhan.

Lima orang terbunuh dalam kejadian itu.

Banduan berkenaan mula bertindak ganas petang kelmarin dengan membakar dan melontar botol ke arah pengawal kerana berang selepas bekalan tenaga dan air ke penjara itu diputuskan.

Penjara Tanjung Gusta itu terbakar dengan api menjulang tinggi hingga memaksa puluhan anggota bomba bekerja keras sepanjang malam memadamkannya.

Kira-kira 150 tahanan dilapor melarikan diri dan polis serta tentera berkata semalam, mereka masih memburu 100 lagi selepas berjaya menangkap puluhan yang lain.

“Kami sudah menguasai semula keadaan dan tentera memasuki penjara tanpa sebarang tentangan,” kata Akbar Hadi Prabowo, jurucakap Jabatan Penjara.
Menteri Kehakiman dan Hak Asasi Manusia, Amir Syamsuddin sebelum itu mengadakan perbincangan dengan wakil banduan, kata Akbar tanpa menjelaskan maklumat perbincangan secara lanjut.

Banduan di Indonesia sering ditahan di penjara yang sesak dan Tanjung Gusta tidak terkecuali.

Menurut laporan, sehingga kelmarin, terdapat 2,600 tahanan di penjara itu, lebih separuh daripada kemampuannya.

Banduan membenarkan 20 anggota tentera memasuki penjara , tetapi tidak anggota polis, pagi semalam.

“Kami tidak suka polis. Mereka tidak berperikemanusiaan. Mereka memukul kami,” jerit seorang tahanan sementara seorang lagi melambaikan pistol dan gari ke arah pegawai.

Lima orang termasuk tiga tahanan dan dua kakitangan penjara terbunuh dalam rusuhan berkenaan.

Kedua-dua kakitangan itu mati kerana terperangkap dalam pejabat mereka.
Kira-kira 1,000 anggota polis dan tentera dikerah mengawal pusat tahanan itu serta melancarkan gerakan memburu besar-besaran di sekitar kawasan.

Banduan yang melarikan diri itu termasuk enam orang yang didapati bersalah atas tuduhan keganasan.

Di Jakarta, Menteri Kanan Keselamatan Joko Suyanto berkata, 64 banduan yang melarikan diri sudah ditangkap termasuk dua militan.

Menurut sumber, kira-kira 500 banduan enggan berhenti merusuh sehingga pasukan keselamatan menguasai semula keadaan dalam penjara itu.

Timbalan Menteri Kehakiman Denny Indrayana yang berada di Medan untuk memantau keadaan merayu mereka yang melarikan diri supaya menyerah diri.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar